Ucapan alu-aluan pementasan Ghazal Party Queen pada 8 Feb 2010 - By Killer Kamaruddin

Bismillahi Rahmanir Rahim.

YB Dato Seri Mohd Shafie Hj Apdal, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah;
YB Dato Mukhriz Tun Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Presiden ANSARA Pusat;
Y. Bhg Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi MARA;
Y. Bhg Dato’ Ibrahim Mohamed, Ketua Pengarah MARA;
Y. Bhg Puan Hjh Noorsiah Sabri, Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Kuala Lumpur;
Pengarah-Pengarah MARA, Pengetua-Pengetua MRSM, Ahli-ahli EXCO Ansara,
Tuan-tuan dan Puan-Puan, hadirin yang dihormati sekelian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Saya bagi pihak Killerbatch Ansara Kulim, juga Angkatan Karyawan Aktif (ANGKA) dan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Kuala Lumpur, mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke Taman Budaya Kuala Lumpur bagi menyaksikan pementasan amal teater Ghazal Party Queen. Malam ini adalah malam yang ke-empat dan terakhir pementasan ini diadakan yang mana seperti yang tuan-tuan sedia maklum bertujuan untuk mengisi dana bagi pembinaan Asrama Donni untuk kegunaan anak-anak di SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu Sabah. Dengan adanya asrama ini nanti, diharapkan akan dapat memberikan kelegaan dan meringankan bebanan yang ditanggung anak-anak ini, di mana sesetengah dari mereka terpaksa berjalan selama 2 hingga 3 jam, merintasi rimba dan sungai semata-mata untuk mendapat pendidikan di sekolah.

Datuk Seri, Dato-dato, tuan-tuan dan puan-puan,

Untuk pengetahun, Asrama ini dinamakan sebagai Asrama Donni bagi memperingati dan dijadikan iktibar, daripada kisah tragik yang menimpa seorang pelajar tahun 5 SK Kinarut, Sabah. Kejadian yang berlaku pada tahun 2007 ini dimana pelajar yang bernama Donni John Duin telah mengorbankan nyawanya sendiri kerana tidak tahan dengan tekanan kemiskinan dan demi meringankan bebanan yang ditanggung ibunya yang seorang diri menyara anak-anak yang ramai. Peristiwa ini, dan pengorbanan anak kecil ini tidak harus kita lupakan, bahkan harus dijadikan pengajaran, agar kita lebih sensitif dengan keperluan anak bangsa kita terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.

Sukacita saya maklumkan, Killerbatch Ansara Kulim setakat ini telah berjaya mengumpulkan sejumlah RM244,000.00 untuk Asrama Donni, bermakna hanya selangkah saja lagi bagi mencapai sasaran RM251,000 yang diperlukan. Saya yakin, bahkan sangat optimis, dengan kehadiran Datuk Seri, Dato-dato, Tuan2 dan puan2 pada malam ini, sasaran tersebut akan dapat dicapai, InsyaAllah. Sokongan Tuan-tuan, terutamanya daripada Ansara Pusat pimpinan Dato’ Mukhriz yang berterusan menyokong usaha kami ini, memberikan semangat kepada kami untuk terus memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Saya juga ingin maklumkan bahawa Asrama Donni kini telahpun 95% siap dan dijangka akan dapat digunakan menjelang March depan. Alhamdulillah, sukacita juga untuk saya umumkan, baru-baru ini Asrama Donni telah menerima suntikan dana berjumlah RM70,000.00 daripada Yayasan CIMB yang mana dana ini akan diguna untuk melengkapkan Asrama Donni dengan peralatan dan keperluan dalaman seperti katil, loker, tilam, dsb.

Datuk Seri, Dato-dato, tuan-tuan dan puan-puan,

Walaupun hari ini sudah genap satu tahun satu hari projek ini dilaksanakan iaitu bermula pada 7 Feb 2009, Killerbatch telah melaksanakan pelbagai program untuk mengumpul dana bagi pembinaan Asrama Donni ini, ramai juga yang telah mula merasa sedikit keletihan. Namun ianya memberikan suatu rasa kepuasan yang bukan sedikit, menyedari bahawa usaha ini akan membantu ramai anak-anak bangsa kita, khususnya di Kiulu Sabah, meringankan bebanan mereka, tahun demi tahun, selagi mana berdirinya Asrama Donni itu.

Inilah hadiah daripada kami kepada wawasan 1Malaysia, Dari Kulim ke Kiulu. Kami tidak pernah melupakan, bahkan berterima kasih kepada kerajaan, khususnya kepada MARA, yang dulunya telah memberikan peluang untuk kami mendapat kemudahan pembelajaran yang selesa, juga guru-guru yang komited yang telah mendidik kami dengan sepenuh hati, yang mana sebahagian daripada mereka ada bersama-sama kita pada malam ini. Terima kasih, Cikgu.

Untuk pengetahuan semua, pada malam ini terdapat 8 orang anggota Killerbatch yang turut sama mengambil bahagian pada pementasan Ghazal Party Queen. Walaupun arena teater ini suatu yang baru bagi mereka, namun mereka sebenarnya telah mendapat pendedahan kepada seni lakunan semenjak belajar di MRSM dulu lagi. Saya masih ingat, dulunya setiap tahun akan diadakan Drama Fest dimana setiap kelas akan mempersembahkan drama masing-masing. Ada diantara mereka yang berlakun pada malam ini yang dulunya pernah memenangi anugerah pelakun terbaik DramaFest. Jadi saya yakin, anggota Killerbatch ini akan mampu menunjukkan persembahan terbaik mereka pada malam ini.

Saya mengharapkan Datuk Seri, Dato-dato, Tuan-tuan dan puan-puan akan terhibur dengan persembahan sebentar lagi, dan dengan itu saya sudahi ucapan ringkas ini dengan lafaz wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.